Friday, April 17, 2009

TIPS KECANTIKAN


Kecantikan seorang wanita ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) malunya, sementara kegagahan seorang lelaki ialah terletak sejauh mana ia dapat menahan (menjaga) marahnya.

Tuesday, April 14, 2009

TUGASAN SUBJEK MULTIMEDIA DAKWAH

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian...

Untuk pengetahuan semua, di bawah subjek Multimedia Dakwah (IDEU 3320), kami diminta untuk menyiapkan satu dokumentari ringkas yang dapat memberi mesej yang jelas kepada penonton. Sehubungan dengan itu, kami dari Discovery Production sepakat untuk membuat satu dokumentari yang bertajuk 'Hijab:Reveal The True Beauty' iaitu satu dokumentari yang bertemakan kepentingan menutup aurat di kalangan wanita.


Di bawah bimbingan dan tunjuk ajar pensyarah yang dikasihi Pn. Norrodzoh @ Nor Raudah Siren dan tutor kami yang disayangi Cik Juwairiah Hassan, akhirnya kami berjaya menyiapkan dokumentari tersebut yang bermula dengan menyediakan proposal terlebih dahulu diikuti dengan penggambaran, pengeditan dan sebagainya. Walaupun terpaksa melalui pelbagai masalah dan kepayahan sepanjang proses membuat dokumentari ini, namun kesemua halangan tersebut berjaya kami atasi kerana tanpa kepayahan maka tidak adalah kesenangan. Istilah putus asa tidak ada dalam kamus hidup kami kerana dengan adanya halangan-halangan tersebut, ianya lebih mematangkan kami dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.


Tidak ketinggalan, tulang belakang di sebalik penerbitan video dokumentari ini ialah Nur Syazrin Nazee Mudeen, Aisyah Abdullah, Syahira Jabaruddin dan Siti Hasnita Saniran yang kesemuanya merupakan pelajar di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Terima kasih untuk segalanya...semoga segala penat lelah kita akan diberkati Allah s.w.t.. InsyaAllah...

RENUNGAN BERSAMA...

Islam telah menghargai kaum wanita dan menganggap golongan ini sebagai unsur penyempurnaan kaum lelaki. Lantas , demi menyempurnakan martabat kaum wanita ini, Islam telah meletakkan wanita dalam martabat yang tinggi dan terhormat. Demi memelihara kewanitaan seorang wanita, maka prinsip-prinsip penjagaan kehormatan dan maruah mereka sangat dititikberatkan dalam Islam.

Wanita ibarat mutiara, cantik dipandang, mempunyai nilai yang tinggi. Demikianlah betapa hebatnya tahap wanita yang dipelihara Islam bagi mengangkat wanita ke tahap yang mulia dan terpuji. Lantas, Islam telah menggariskan aturannya dan perintah-perintahnya terhadap wanita demi memelihara maruah dirinya dengan menutup auratnya. Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Isu wanita sering dijadikan isu murahan oleh Barat untuk menyerang ideologi Islam. Sejak dahulu, isu pemakaian tudung dan menutup aurat sering dimanipulasi dan disalah erti. Bagi mereka, Islam selalu mengongkong wanita didalam banyak aspek kehidupan. Mereka berusaha mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperleceh dan merendahkan martabat wanita yang mulia. Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam – didalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka ‘mencairkan’ ideologi Islam, agar Islam dapat di ‘liberal’kan.

Selain itu, wujud juga pandangan lain yang merasakan bahawa wanita muslimah ditindas & tidak diberi 'freedom in acts'. Dan atas dasar anti-Islam/antikeganasan, mereka merasakan, dengan memberi peluang muslimah memakai hijab/tudung dalam komuniti mereka yang bermajoritikan kristian, ini boleh mengundang bahaya!
Konsep & Sinopsis 'Hijab:Reveal The True Beauty'

Segment 1
- Grafik Ayat
- Surah an-Nur 24:31

Segment 2
- Paparan visual wanita bertudung dan menutup aurat.


Segment 3
-Martabat wanita dalam Islam
Islam telah menghargai kaum wanita dan menganggap golongan ini sebagai unsur penyempurnaan kaum lelaki. Lantas, demi menyempurnakan martabat kaum wanita ini, Islam telah meletakkan wanita dalam martabat yang tinggi dan terhormat. Demi memelihara kewanitaan seorang wanita, maka prinsip-prisip penjagaan kehormatan dan maruah mereka sangat dititikberatkan dalam Islam.

Segment 4
- Paparkan kejayaan wanita yang bertudung dan menjaga aurat
- Kisah hidup Profesor Madya Dr Che Zarrina Sa'ari

Segment 5
- Dakwaan palsu masyarakat Barat
- Keruntuhan budaya barat akibat menentang fitrah.
- Paparan kes-kes sosial dan kemeruduman negara Barat.

Laungan barat tentang kebebasan wanita hanyalah sekadar suatu bentuk eksploitasi tubuh wanita, penghinaan terhadap maruahnya dan kehilangan kehormatan diri. Masyarakat Barat mendakwa bahawa mereka telah menaikkan martabat wanita. Tetapi, sebaliknya, mereka sebenarnya merendahkan wanita kepada status perempuan simpanan serta alat pemuas nafsu lelaki yang mencari hiburan disebalik kelemahan wanita.

Segment 6
- Grafik ayat alQuran
- Surah al-Ahzab 33:59

Segment 7
Pendapat pakar:
- Profesor Madya Dr Che Zarrina Sa'ari
- Syariat Islam sebagai penyelesaian masalah masyarakat

Segment 8
- Paparan kehidupan wanita Islam yang harmoni

Sesungguhnya, Hijab tidak merendahkan wanita tetapi fungsinya jelas dalam meningkatkan martabat wanitaa dan melindungi kemuliaan dan kesuciannya...Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah.

HIJAB: REVEAL THE TRUE BEAUTY

Monday, April 13, 2009

PROSES PENERBITAN
—Proses penerbitan video dokumentari terbahagi kepada 3 langkah;
—Pre-production
—Production
—Post Production

PRE-PRODUCTION
—Penulis membuat perancangan untuk penerbitan sesebuah video dokumentari.
—Proses ini memerlukan pemikiran yang kreatif dan penyelidikan terlebih dahulu terhadap subjek yang hendak dipilih.
—Terbahagi kepada 2 proses iaitu proses treatment dan penentuan budget penerbitan.
—1. TREATMENT
—Proses ini mengandungi penjelasan tentang topik yang hendak dikemukakan dalam filem dokumentari
—Ia merupakan sebuah kertas cadangan tentang subjek yang hendak ditonjolkan , tujuan dan kepentingan penerbitannya
—( It generally conveys on paper what you are going to show and how you are going to show it.)
—Penulisan treatment merupakan langkah awal dalam pembangunan penulisan skrip dokumentari. Penyelidikan terhadap subjek akan dilakukan terlebih dahulu dan dijelaskan dalam penulisan draf pertama iaitu draf yang mengandungi struktur penerbitan video yang dirancang.

Treatment for Others
A valuable communication tool as it help funding sources to understand your vision and give them confidence that you know how and what you want to show.
—The production company will be able to see whether what you have proposed can be done within the budget.
—a) Kertas cadangan
—Latar belakang subjek
—Objektif penerbitan
—Kepentingan
—Sasaran
—Metodologi : penyelidikan perpustakaan, temuramah, observasi
—Budget
—Rangka kerja penerbitan
—b) Treatment dan penyelidikan
—Setelah proposal diterima, perbincangan akan dilakukan dengan stesyenTV.
—Barulah treatment akan dilakukan berserta dengan penyelidikan.
—Structure of a Treatment
—Tidak ada satu kaedah yang tetap dalam pembikinan treatment. Ia dilakukan mengikut kehendak sasaran.
—Ia mesti mengandungi kepentingan filem dan kenapa filem dokumentari kita begitu istimewa, tentang apa, bagaimana ia paparkan dan siapa yang akan menontonya.
—Penulisan treatment ini lebih kurang 2 – 5 halaman dan sesetengah pembuat filem mengemukakan sehingga 30 halaman.

Format treatment mengandungi perkara berikut;
—Summary
—Purpose of the film
—Approach of the film
—Content of the film
b) Storyboard
—Bahagian treatment ini mengandungi keterangan visual bagi setiap gambar yang akan diambil.
—Ia menjadi garis panduan kepada jurugambar semasa shooting dijalankan.
—Storyboard membantu penyusunan dan kesepaduan/ hubungan antara subjek dalam filem
—Setiap shoot yang digariskan dalam storyboard akan disesuaikan semula mengikut keperluan semasa shooting dilakukan.
—c). Budget
—Anggaran perbelanjaan akan membantu pengurusan kewangan sehingga filem selesai.
—The budget includes:
—Production Personnel- salaries for filmmakers, researchers, consultants and assistants

Right and Permissions:
Any distributed films must obtain rights and permissions for all copyrighted material that appears in the film. Copyrighted material includes music, footage (bahan visual), photographs, news clippings
and also includes fees for permissions and reproduction fees.
—Participants (Talent)- cost of narrators and actors

Production Expenses;
-Travel, Lodging and food: include cost of air fares, local transportation including train, cars, taxis and lodging expenses.
- Equipment: cost of owned, purchased and rented equipment.
- Crew: include the cost of production personnel: camera operators, sound recorders, lighting, grip, construction people and assistants
—Stock and Ratio
—Post production: cost of editing process, editor, translation cost, legal service

PENERBITAN VIDEO DOKUMENTARI ISLAM

Pengertian
—Video dokumentari Islam ialah media yang menggabungkan audio dan visual untuk menyampaikan maklumat tentang Islam.
—Video dokumentari mengandungi maklumat bersumberkan fakta yang dikumpulkan melalui penyelidikan dan disampaikan dengan pelbagai kaedah.
Maudu’
—Isi kandungan video ialah segala maklumat tentang Islam yang diperolehi melalui temuramah, observasi, pengkisahan , pengalaman, pengembaraan, penyelidikan dan pembacaan.
—Isi kandungan dikemukakan bertujuan untuk memberi pendedahan, penjelasan, penghuraian dan penghujahan tentang keelebihan dan kebaikan agama Islam sebagai agama yang syumul dan selamat.
Uslub
Sinematografi;
—Composition/ kedudukan gambar dalam kamera
—Lighting/ pencahayaan
—Object and image/ subjek- imej
—Suara latar—Muzik—Plot
—Bahasa—Penyampaian bahan

Sunday, April 5, 2009

MANUSIA MENURUT PANDANGAN AL-FARABI


RIWAYAT HIDUP AL-FARABI

Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nashr Muhammad Tharkhan bin Uzalag. Beliau terkenal dengan panggilan Abu Nasr, tokoh kedua ahli sains falsafah selepas al-Kindi (185-260H). Menurut Albert Nasri Nadir dalam kitabnya Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadilah beliau dilahirkan sekitar tahun 259 hijrah bersamaan 870 masihi. Beliau dilahirkan di distrik Wasij, provinsi Farab, tanah Kurasan yang terletak di pinngir sungai Saijun di Turkistan. Sebahagian ahli sejarah berpendapat bahawa beliau dilahirkan di Farab.
Beliau digelar “Mahaguru Kedua” (al-Mu’allimun al-Thani) selepas Aristotle, yang telah diberi gelaran “Mahaguru Pertama”. Gelaran tersebut diberikan kerana pemerhatiannya yang begitu tekun dalam mengkaji buku-buku Aristotle.

Beliau berasal daripada keluarga yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat dan ternama yang berdarah campuran Turki-Parsi. Keluarganya adalah keluarga yang sangat dihormati dan berharta. Menurut kata Ibnu Khalkan dan Ibnu Ushaibiah, ayahnya seorang lelaki berketurunan Persia, manakala ibunya adalah wanita Turki. Bapanya merupakan seorang jeneral berbangsa Parsi namun begitu, pekerjaan ibunya pula tidak dapat diketahui dengan jelas.

Beliau meninggal dunia pada tahun 339 hijrah (950 masihi) di Damsyik iaitu ketika usianya hampir 80 tahun. Gelaran al-Farabi dipercayai dinisbahkan sempena tempat kelahiran beliau iaitu di Farab, Transoxiana, Turkestan yang sekarang dikenali dengan nama Otrar. Kebiasaannya masyarakat di Asia Barat memberikan gelaran tertentu kepada seseorang adalah mengikut nama anak lelaki sulongnya. Namun, kajian sejarah menunjukkan bahawa beliau tidak pernah berkahwin. Beliau lebih berminat untuk menuntut ilmu daripada mendirikan rumah tangga.

KEPERIBADIAN AL-FARABI

Al-Farabi disifatkan sebagai salah seorang tokoh falsafah Islam yang agung dan hebat yang tiada tandingannya. Akan tetapi, beliau lebih suka hidup bersendirian, uzlah (pengasingan diri) serta terlalu zuhud. Beliau tidak berkehendakkan kemewahan duniawi apatah lagi untuk tinggal di rumah-rumah besar seperti golongan atasan yang lain kerana baginya ilmu adalah lebih berharga daripada darjat dan harta-benda.

Beliau merupakan anak murid kepada Abu Bakar al-Shibli dan Abu Mansur al-Hajaj yang terkenal sebagai tokoh sufi Islam. Ketekunan beliau dalam menuntut ilmu telah dapat melahirkan kesepaduan fikiran yang membantunya mencapai puncak kebenaran. Rutin harian beliau pada waktu siang dan malam adalah membaca dan menulis, selain membuat komentar terhadap tulisan falsafah dan mantiq Yunani.

Di samping itu, beliau berupaya menguasai pelbagai bahasa, dialek dan loghat sehinggakan Ibn Khallikan mengatakan bahawa al-Farabi mampu menggunakan tujuh puluh dialek. Kebolehannya mengetahui berbagai-bagai bahasa asing, adalah langkah yang bijak untuk menguasai pelbagai jenis ilmu-ilmu. Seperti kata pepatah penjajah belanda: “sebelum menguasai sesebuah bangsa, kuasailah bahasa dan ilmunya.” Antara bahasa yang dapat dikuasainya adalah seperti bahasa Turki, Parsi, Kurdi dan Arab.

Al-farabi juga berbakat dalam bidang muzik, terdapat beberapa buku muzik hasil tulisan beliau dan beliau juga pandai bermain alat muzik. Rebab dan qanun merupakan antara alat muzik yang telah dicipta oleh beliau sendiri. Kemahiran beliau dalam bidang syair dan sastera tidak dapat dinafikan lagi, penggunaan bahasa yang indah dan menarik telah beliau hasilkan dengan meliputi pelbagai jenis tajuk dan tema.



ASAS-ASAS PENDIDIKAN AL-FARABI

Pendidikan awal al-Farabi adalah bermula di negaranya sendiri iaitu di Farab kemudian, beliau memperoleh ilmu melalui pengajiannya dengan beberapa tokoh-tokoh muslim dan bukan muslim di sepanjang pengembaraannya di luar daerah Farab. Pada peringkat awal beliau telah diajar tentang asas pengetahuan agama Islam misalnya Fekah, Hadith, tafsir Quran dan bahasa. Ilmu agama yang telah diterapkan sejak kecil dalam dirinya sedikit sebanyak mempengaruhi cara beliau berfikir dan berupaya membentuk akhlak dirinya.

Sewaktu di negerinya beliau pernah dilantik menjadi kadi namun, beliau mengambil keputusan meletak jawatan kerana kecintaannya yang begitu tinggi dalam menuntut ilmu pengetahuan. Segala-galanya bermula apabila pada suatu hari seorang insan telah memberikannya sejumlah buku tulisan Aristotle. Beliau kemudiannya berpindah ke Baghdad belajar ilmu logik dan Nahu dari Abu Bakar bin Siraj.

Beliau menghabiskan masa di Baghdad selama lebih kurang 30 tahun untuk menumpukan sepenuhnya terhadap pelajaran, penulisan, pengajaran, penjelasan dan ulasan terhadap buku-buku Aristotle dan Plato. Seterusnya, pada tahun 298 Hijrah bersamaan 908 Masihi, beliau telah meninggalkan Baghdad bersama gurunya untuk ke Harran seterusnya meneruskan perjalanan ke Konstentinople, Ibnu Hailan bertindak sebagai penyelia beliau dalam pembelajaran dan beliau ke sana untuk mempelajari falsafah dengan mendalam lagi.

Pada tahun 330 hijrah bersamaan 941 masihi pula, beliau berhijrah ke Damaskus dalam keadaan yang susah dan sangat miskin.beliau menghabiskan seluruh malam dengan membaca dan menulis. Setelah itu, al-farabi berpindah sebentar ke Mesir dan kemudiannya kembali semula ke Syam.

HASIL KARYA DAN PENULISAN AL-FARABI


Al-Farabi sebenarnya tidak banyak menulis buku yang tebal-tebal seperti orang lain melainkan hanya beberapa buah buku dan catatan ringkas di atas lembaran kertas yang terpisah-pisah. Buku-buku karangan beliau mula ditulis sewaktu berada di Harran iaitu semasa pengembaraan kedua beliau dalam lingkungan empat puluhan. Kemudian beliau meneruskan penulisannya lagi ketika bermastautin di Baghdad dan Damsyik sehingga usia beliau menjangkau usia lapan puluh tahun.

Karya-karya beliau banyak digunakan sehingga sekarang dan menjadi rujukan bagi para ilmuan namun, sebahagiannya telah hilang. Antara yang dapat diselamatkan ialah tiga puluh dua risalah Bahasa Arab, enam risalah dalam bahasa Barat dan dua lagi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Ibnu Abi Ushaibiah dan al-Qafthi mengatakan bahawa karangan al-Farabi berjumlah 17 syarh (penjelasan), 90 buku dan 25 catatan kecil. Hanya 40 buah karangan yang masih tersimpan.

Beliau banyak menulis tentang buku mengenai pengantar falsafah iaitu pengenalan ilmu falsafah, logik, syarah atau komentar terhadap karya-karya ahli fikir terdahulu seperti Aristotle dan Plato. Menurut ‘Abbas Mahmud karya ilmiah al-Farabi boleh dipecahkan kepada enam kelompok, seperti:

1) Buku-buku dalam bidang mantiq
2) Buku-buku dalam bidang ilmu kepandaian (al-ta’lim)
3) Buku-buku dalam bidang ilmu alam, kimia dan perubatan
4) Buku-buku dalam bidang ketuhanan
5) Buku-buku dalam bidang ilmu madani (meliputi akhlak dah siasah)
6) Buku-buku dalam berbagai-bagai bidang (umum)

Teknik penulisan dan bahasa yang digunakan dalam karya-karya beliau adalah sangat halus, berseni serta tidak meleret-leret. Tidak terdapat pengulangan ayat dalam penulisannya. Ayatnya begitu ringkas dan padat namun, merangkumi makna yang menyeluruh. Malah beliau juga kaya dengan lafaz dan ibarat mungkin juga akibat terpengaruh dengan gurunya Abu Bishr Matta bin Yunus ketika berada di Iraq. Yang mana guru al-Farabi ini gemar menggunakan perkataan dan ibarat yang mudah.

Hasil karya beliau tersebar dengan meluasnya sehingga ke Timur, Morocco (Maghribi) dan Sepanyol (Andalus). Sebahagian karangan-karangan beliau yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Ibrani disimpan dan dijaga di perpustakaan negara-negara Eropah. Antara buku-buku penting karya al-Farabi yang berkaitan dengan jiwa ialah:

1) Buku Ara Ahl al-Fadhillah
2) Buku Tahsil as-Sa’adah
3) Risalah at-Tanbih ‘ala Sabil as-Sa’adah
4) Risalah fi al-‘Aql
5) ‘Uyun al-Masa’il
6) Buku as-Siyasat al-Madaniyah
7) Fushush al-Hikam
8) Ad-Da’awi al-Qalbiyah

PANDANGAN AL-FARABI MENGENAI MANUSIA

DEFINISI JIWA MENURUT AL-FARABI

Al-Farabi mendefinisikan jiwa sebagai suatu kesempurnaan awal bagi fizik yang bersifat alamiah, mekanistik dan memiliki kehidupan yang energik. Makna “jiwa merupakan kesempurnaan awal bagi fizik” adalah bahawa manusia dikatakan menjadi sempurna ketika menjadi makhluk yang bertindak. Sebab jiwa merupakan kesempurnaan pertama bagi fizik alamiah dan bukan bagi fizik buatan. Manakala makna “mekanistik” pula adalah bahawa badan menjalankan fungsinya melalui perantara alat-alat yang memberi makna anggota badannya yang pelbagai. Seterusnya, makna “memiliki kehidupan energik” pula adalah bahawa di dalam dirinya terkandung segala persiapan hidup dan juga persiapan untuk menerima jiwa.
JIWA ( AL-NAFS ) DAN AKAL

Sarjana Sa’id Zaid ketika menghuraikan persoalan jiwa (al-Nafs) manusia menurut pandangan al-Farabi, memaklumkan bahawa pada asasnya kewujudan jiwa tidak terhad kepada manusia sahaja, malah berada juga pada binatang (al-hayawan), tumbuh-tumbuhan (al-nabat) dan planet (seperti bintang, bulan, matahari, langit dan alam sejagat). Jiwa wujud hasil limpahan (al-Faid) daripada akal-kesepuluh (al-‘Aql al-‘Ashir). Manusia pada hakikatnya adalah hasil gabungan dua unsur iaitu fizikal (yakni tubuh badan yang berunsurkan kebendaan) dan jiwa (unsur rohani). Inilah pendirian al-Farabi dalam membezakan antara dua unsur berkenaan. Walaupun berlainan, dalam konteks kehidupan manusia, ia adalah penting sebagai dasar hidup yang mana daripadanya manusia memperolehi beberapa faedah seperti kebolehan berfikir, berperasaan, berkemahuan dan sebagainya.
Merujuk secara khusus kepada jiwa manusia (al-Nafs al-Insaniyah) al-Farabi berpendapat, apabila terjadinya manusia maka lahirlah bersama-samanya beberapa kekuatan jiwa atau tenaga (al-Quwwah), yang mana tenaga itu menolong manusia dalam usaha meningkatkan lagi mutu kecerdasan akal fikirannya. Tenaga tersebut adalah seperti berikut :

1) Tenaga makan (al-quwwah al-ghaziyah)
2) Tenaga perasaan (al-quwwah al-hassah)
3) Tenaga ingatan (al-quwwah al-mutakhayilah)
4) Tenaga berfikir (al-quwwah al-natiqah)
5) Tenaga kemahuan (al-quwwah al-nuzuiyah)

Berikut merupakan penerangan mengenai tenaga-tenaga berkenaan :
1) Tenaga makan
Merupakan tenaga ulung yang wujud pada diri manusia. Ia bertugas untuk keperluan fizikal manusia, yakni berusaha memenuhi keperluan makanan dan keperluan asas lain yang penting untuk memelihara dan mengekalkan kehidupannya. Jelas Al-Farabi :
“ Tenaga kekuatan) makan yang ada pada manusia, ia sesungguhnya dijadikan untuk memberi khidmat kepada badan.”
2) Tenaga perasaan.
Tenaga ini disebut juga “tenaga kepancaindera” memberikan faedah yang besar kepada manusia. Ia tumbuh daripada pancaindera yang masyhur iaitu lidah, telinga, mata, hidung dan rasa anggota. Tenaga ini banyak membantu akal dan memberi pengalaman kepada manusia. Melalui tenaga itu manusia dapat merasa udara panas dan sejuk dan makanan, mengetahui warna dan tahu memilih antara yang disukai atau tidak.
3) Tenaga ingatan atau imaginasi.
Tempatnya terletak di hati manusia. Tenaga ini juga besar fungsinya kepada manusia. Ia boleh menyimpan ingatan tentang sesuatu dan juga pengalaman daripada pancaindera di atas. Ia boleh berkhayal mengenai hal-hal yang boleh berlaku dan sesuatu yang mungkin terjadi. Mengenai hal ini Al-Farabi menulis :
“ataupun ia bercita-cita pada satu benda yang boleh disusun oleh kekuatan imaginasi (khayalan). Dan yang kedua apa yang terlintas pada kekuatan imaginasi, daripada apa sahaja perasaan, maka terbayanglah padanya (daripada pemikiran itu) apa-apa sahaja sama ada benda itu menakutkan atau dicita-citakan, ataupun apa yang datang kepadanya daripada perbuatan kekuatan berfikir.”
4) Tenaga berfikir.
Tenaga ini paling istimewa dan untuk manusia sahaja. Kedudukannya dan kepentingannya adalah lebih besar daripada tenaga-tenaga di atas. Ia dapat membezakan sesuatu, sama ada sesuatu itu baik atau buruk serta boleh menggerakkan manusia untuk bekerja dan menuntut ilmu. Tenaga ini merupakan faktor terbesar yang membezakan manusia daripada binatang. Menurut al-Farabi tenaga ini mempunyai dua kategori iaitu amaliyah dan nazariyah.
5 ) Tenaga kemahuan
Ia adalah kemahuan yang menjadi faktor pendorong bagi manusia untuk berbuat sesuatu ataupun mengingkarinya. Manusia memperolehi sesuatu hasil daripada pertimbangan tenaga ini kerana daripadanyalah berpuncanya iradah. Ia juga merupakan tenaga yang akan menghukumkan atau melakukan sesuatu (mengambil) atau sebaliknya (menggagalkannya).
Jenis tenaga yang lain adalah berlainan daripada tenaga kemahuan. Al-nuzuiyah berkhidmat untuk semua tenaga yang lain termasuklah al-natiqah. Semua hasrat tercapai dengan bantuan tenaga ini. Selain daripada itu segala jenis pekerjaan terjadi kerana tenaga kemahuan itu. Sementara itu manusia mengetahui sesuatu adalah kerana tenaga berfikir, atau mungkin juga kerana tenaga imaginasi, dan kadangkala kerana tenaga kepancainderaan (al-ihsas).
HATI ( AL-QALB ) DAN OTAK ( AL- DIMAGH )

Manusia seperti yang diterangkan di atas adalah hasil gabungan jiwa (al-nafs) dan fizikal (al-badan). Dari segi fizikal manusia terdiri daripada berbagai-bagai jenis anggota yang mempunyai fungsi dan tugas yang berlainan. Sewaktu memberikan pandangannya terhadap persoalan fizikal ini, al-Farabi menekankan masalah hati dan juga otak, yang merupakan dua anggota terpenting kepada manusia.
Jantung (atau hati) adalah anggota teragung, yang mana tidak ada lagi anggota badan lain-lain yang dapat mengatasinya. Ini kemudiannya dituruti oleh otak, sebagai anggota kedua yang terpenting. Otak bertugas untuk jantung dan seluruh anggota badan. Jantung, dari aspek kedudukan dan tarafnya, disifatkan oleh al-Farabi sebagai ‘tuan’ (sahib) kepada diri manusia :
“Hati adalah anggota (yang menjadi) ketua yang tidak diketuai oleh anggota lain. Berikutnya adalah otak, ia juga adalah satu anggota yang boleh dikira ketua, dan keketuaannya itu bukanlah keketuaan yang utama, tetapi dia adalah yang kedua sahaja. Ini adalah kerana ia berketua dengan hati dan ia juga menjadi ketua kepada lai-lain anggota. Sesungguhnya ia berkhidmat untuk hati dan semua anggota lain berkhidmat untuknya dengan cara mengikut apa yang dikehendaki oleh hati dengan cara tabi’i. Hal itu sebenarnya adalah sama seperti rumah manusia, sesungguhnya ia memberi khidmat pada manusia dan rumah itu pula diberi khidmat oleh manusia dengan mengikut apa yang dimaksudkan oleh manusia terhadap dua perkara itu, seolah-olahnya ia (otak) mengganti hati dan mengambil tempat dan menjadi naib kepada hati serta bertukar ganti pada apa yang tidak mungkin digantikan oleh ketua, dan ia yakni otak dilantik (berkuasa) untuk berkhidmat kepada hati pada perbuatan-perbuatan yang mulia.”
Petikan di atas menerangkan tentang hakikat, kedudukan dan fungsi jantung yang berbeza dengan anggota badan yang lain-lain. Kemudian al-Farabi menjelaskan pula fungsi otak terhadap jantung dan seluruh anggota badan. Menurut beliau jantung memancar keluar kepanasan semulajadi dan daripada jantung wujud kepanasan yang diperlukan oleh seluruh anggota badan. Otak manusia pada dasarnya mempunyai dua tugas penting iaitu :
1) Hati melahirkan kepanasan semulajadi dan kepanasan tersebut akan menjadi bertambah kuat. Dengan itu, otak memainkan peranan untuk mengimbangi kepanasan tersebut, yang mana dengan imbangan itu akan membahagikan kepanasan jantung tadi dan kepanasan itu keluar ke seluruh anggota badan yang memerlukannya, sehingga dapat memenuhi kadar kehendak mereka. Otak mempunyai kekuatannya sendiri, iaitu ia dapat mengimbangi sendiri kepanasan jantung hingga ia dapat memperbaiki daya pemikirannya, ingatannya, pengamatannya dan sebagainya.
2) Dalam otak terdapat satu tempat yang bertugas mengawasi sebahagian besar urat saraf manusia. Di samping itu tempat pengawasan bagi seluruh urat saraf itu terletak dalam urat putih (al-nakha). Urat putih dari segi kedudukannya, bersambung di sebelah atas dengan otak. Selain daripada itu satu lagi tugas otak ialah membantu saraf pergerakan kehendak dan kemahuan manusia, sehingga saraf itu dapat memenuhi apa yang dikehendaki oleh jantung seperti menggerakkan anggota secara automatis.
Selain daripada itu, al-Farabi juga memberikan pandangannya mengenai akal dan tingkatannya serta fungsi akal itu sendiri. Umumnya, menurut pengelasan yang dibuat oleh al-Farabi, akal dapat dibahagikan kepada tiga jenis yang secara ringkasnya adalah seperti di bawah :
1) Al-‘aql al-hayulani (akal materi / kebendaan )
Akal ini juga dipanggil ‘aqal bi al-quwwah iaitu akal manusia. Al-Farabi mendefinisikan akal potensial sebagai jiwa tertentu, atau bahagian dari jiwa, atau salah satu potensi jiwa, atau sesuatu yang materinya siap atau disiapkan untuk melepaskan semua wujud dan gambarnya tanpa disertai materinya, sehingga membuatnya menjadi gambaran atau beberapa gambaran bagi jiwa tersebut. Gambar-gambar yang terlepas dari materinya yang menjadi gambaran di dalam zat tersebut adalah ma’qulat iaitu objek rasional.
2) Al-‘aql bi al-fi’li ( Akal Aktual / Bakat )
Ia lebih tinggi daripada akal manusia di atas. Ini kerana ia dapat melepaskan dirinya daripada unsur-unsur benda (maddah), dan dengan itu pengetahuan yang diperolehinya adalah dalam bentuk sebenar.
Al-Farabi mengistilahkan objek rasional yang berasal dari objek inderawi yang tersimpan di dalam daya fantasi dengan sebutan ma’qulat pertama, iaitu ma’qulat yang sama di antara semua orang. Jika ma’qulat yang terlepas dari materi dalam akal hayulani terbentuk, maka ia menjadi akal aktual atau akal habitual, dan ma’qulat tersebut berubah menjadi ma’qulat aktif. Ketika ma’qulat di dalam akal terbentuk, maka ia menjadi sebahagian dari akal dan menjadi bakatnya. Oleh kerana itu, akal aktual disebut bakat dan ia juga disebut aktif apabila dinisbatkan pada objek rasional yang belum difikirkan disebut potensi.
3) Al-‘aql al-mustafad (akal perolehan)
Merupakan daya berfikir yang ketiga. Ia boleh menangkap bentuk-bentuk yang lebih sempurna daripada pencapaian akal di atas. Tingkatan akal mustafad ini lebih tinggi dari akal aktual dan lebih terpisah dari material, serta lebih dekat dengan Akal Aktif. Tidak ada sesuatu yang lain di antara akal mustafad dan Akal Aktif, dan itulah tingkatan akal tertinggi yang dapat dicapai manusia. Jiwa mustafad adalah manusia sejati, dan dialah yang abadi setelah badan mengalami kehancuran.


RUJUKAN


Idris Zakaria. (1986). Teori Kenegaraan Al-Farabi. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.



Muhammad Utsman Najati. (2002). Jiwa Dalam Pandangan Para Filosof Muslim.
Bandung : Terbitan Pustaka Hidayah.



Mahmood Nazar Mohamed. (2001). Pengantar Psikologi : Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkahlaku Manusia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Osman Bakar.(1991).Al-Farabi Kehidupan, Hasil Karyanya dan Peri Penting Tokoh . Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.