Sunday, August 23, 2009

NASIHAT AL-QAMAH : LIMA CARA PILIH SAHABAT

Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah kepada anaknya :

Pertama :
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua :
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menyebut-nyebutkannya.

Ketiga :
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukanmu, ia suka menutupinya.

Keempat :
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima :
Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

ERATKAN KASIH SAYANG DENGAN MEMBERI SALAM...


Abu Hurairah melaporkan, katanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Saudara semua tidak akan masuk syurga sehinggalah saudara beriman, dan saudara tidak beriman melainkan saudara saling kasih mengasihani. Sukakah saudara jika saya beritahu perbuatan yang menimbulkan kasih sayang sesama saudara sekalian? Ucapkanlah salam sesama saudara semua.” (Hadith sahih direkodkan oleh Imam Muslim).


Nabi Muhammad memberikan panduan terbaik untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama kita. Baginda menjelaskan, perasaan kasih sayang antara sesama Muslim adalah tabda keimanan. Oleh itu, secara tidak langsung amalan memberi salam dapat meningkatkan tahap keimanan.


Amalan memberi salam amat digalakkan dalam Islam. Abu Umarah, atau nama sebenarnya Al-Barra’ bin Azib melaporkan katanya, “Nabi Muhammad mengarahkan kami supaya melakukan tujuh perkara, iaitu pergi melawat orang sakit, ikut menghantar jenazah ke kubur, mendoakan orang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang dianiaya, menyebarkan salam, dan melaksanakan sumpah.”


Nabi Muhammad menjelaskan, individu yang gemar memberi salam adalah individu yang paling dikasihi Allah s.w.t..


Di samping itu, amalan memberi salam menjadi penyebab Allah memasukkan hambaNya ke dalam syurga. Abu Yusuf atau nama sebenarnya Abdullah bin Salam, melaporkan katanya, “Saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, rapatkan tali kekeluargaan, dan didirikanlah sembahyang malam semasa orang lain sedang nyenyak tidur. Percayalah, saudara semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Hadith Riwayat Imam Tarmizi”).

Pahala memberi salam bergantung kepada lafaz yang digunakan dalam salam tersebut. Semakin panjang lafaz salam yang diucapkan, semakin banyak pahala diberikan oleh Allah. Imran bin Husain melaporkan katanya : “ Pada suatu masa ada seorang lelaki datang menemui Nabi Muhammad lalu dia mengucapkan, ‘Assalamualaikum’ Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki tersebut pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang pula seorang lelaki lain lalu dia mengucapkan salam, “Assalamualaikum warahmatullah’. Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki itu pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat dua puluh pahala”. Kemudian datang pula seorang lelaki lain, lalu dia mengucapkan salam, ‘Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.’ Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki itu pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat tiga puluh pahala”. (Hadith hasan direkodkan oleh Imam Daud dan Tirmizi).


Di samping mengucapkan lafaz salam, digalakkan juga mengangkat tangan kanan semasa memberi salam. Antara adab memberi salam, sesuaikan nada suara dengan suasana. Janganlah sampai memberi salam itu mengganggu orang lain, contohnya mengganggu orang yang sedang tidur. Miqdad melaporkan katanya : “Kami biasa menyediakan susu buat Nabi Muhammad. Kemudian Baginda datang pada waktu malam dan Baginda memberi salam dengan perlahan, supaya orang yang tidur tidak terjaga, manakala yang jaga dapat mendengar. Kemudian beliau datang lagi pada hari berikutnya dengan memberi salam sebagaimana yang biasa dilakukannya.”

JANGAN MENYANGGAHI FITRAH


Setiap manusia pada dasarnya dilahirkan suci daripada sebarang noda dosa seperti sucinya fitrah yang sedia ada dalam penbawaannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih). Maka, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikan anaknya sebagai Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Riwayat Bukhari)

Kehidupan ini kadang-kadang menyebabkan manusia tersasar daripada fitrahnya sehingga mereka tidak dapat berpegang dan mempertahankan fitrah semulajadi yang ada dalam jiwa mereka. Apabila fitrah manusia dikuasai nafsu, maka terhalanglah nilai positif yang lahir daripada fitrah itu.

Allah berfirman yang bermaksud : “ Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Rum ayat 30).

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini adalah perintah Allah kepada umat manusia untuk memperkukuhkan niat dan menguatkan tekad dalam menegakkan dan mempertahankan ajaran Islam. Hal ini adalah fitrah manusia yang diciptakan Allah yang tidak memiliki apa-apa kecenderungan untuk menentang dan mengingkari Allah..

JANGAN JADIKAN PERMAINAN


Hasad dengki memang permainan manusia. Namun jika dibiarkan, hasad dan dengki akan menjadi seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.

Jangan lupa bahawa hasad dan dengki yang menyebabkan Nabi Adam tersingkir daripada syurga apabila Baginda dan isteri, Hawa menjadi mangsa dengki iblis. Kerana hasad dengki juga berlaku pembunuhan pertama dalam sejarah apabila dua anak lelaki Nabi Adam, Qabil membunuh adiknya Habil.

Disebabkan kuatnya perasaan ini membelenggu manusia, Rasulullah bersabda bermaksud, “ Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dengan dengki”. (Riwayat Ibnu Hibban dean Al-Baihaqi)

Seorang pujangga Arab pernah berkata, “Orang hasad tidak akan senang hidupnya. Dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.

Jauhilah dengki yang memusnahkan ukhuwah dan kebaikan dalam diri. Namun jika ingin berdengki, lakukanlah perkara yang positif seperti berlumba-lumba melakukan kebaikan dan menuntut ilmu ataupun ibadat.

KETAHUI FAKTA INI!!

  • Berdasarkan Kajian Profil Rakyat Malaysia (1996), jenis bahan bacaan yang disukai oleh kanak-kanak berumur lima hingga Sembilan tahun adalah komik (41%), buku(26%), suratkhabar (10%) dan majalah (6%).
  • Fakta tahun 2000 hingga 2002 menunjukkan jenis buku kanak-kanak yang tertinggi penggunaannya di Perpustakaan Negara Malaysia adalah fiksyen, diikuti buku-buku bukan fiksyen sains dan teknologi, sains sosial dan bahasa.
  • Di Barat, industri karya kanak-kanak jauh lebih rancak serta serius, malah karyawan karya kanak-kanak juga jauh lebih dihargai. Ia termasuklah pemberian anugerah khas kepada penulis yang berjaya menghasilkan karya yang bermutu tinggi.
  • Penerbit universiti juga aktif menerbitkan bahan bacaan kanak-kanak termasuklah penerbit dari universiti ternama dunia seperti Yale University dan University of Chicago.
  • Ibu bapa di negara kita telah menghabiskan sekitar 1.5 juta wang mereka untuk kanak-kanak pra-sekolah dan sekitar 3 juta untuk pelajar sekolah rendah.
  • Negara kita hanya menghasilkan kira-kira 5,000 jilid buku cerita kanak-kanak dalam setahun berbanding 50,000 naskhah setahun bagi luar negara.
  • Secara purata rakyat Malaysia hanya membelanjakan RM27 sebulan untuk membeli bahan bacaan.
  • Hanya kira-kira 6,500 judul buku baru diterbitkan di Negara ini dalam setahun.
  • Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca satu setengah muka buku setahun.

Saturday, August 8, 2009

BANTULAH AKU...

Tolong dan bantulah aku,
Wahai Tuan Punya Dunia dan segala isinya,
Tolong dan rahmatilah aku,
Wahai Tuhan empunya diriku yang hina,
Tolong dan redhailah aku,
Wahai Tuhan Pentadbir Alam Semesta,
Wahai saudara seakidahku,
Tolong, ingatkan aku andai terlupa,
Terlupa bahawa diri ini ada yang punya,
Bantulah aku, tegurlah aku andai tersalah,
Tersalah langkah membawa padah,
Bantulah aku, betulkan aku andai tersasar,
Tersasar jauh dari landasan sebenar,
Bantulah aku, bantulah aku andai aku tersungkur,
Tersungkur jatuh dosa melumur,

Tolong, doakan aku agar kuat,
Kuat semangat agar jiwa diikat,
Tolong, doakan aku agar bertahan,
Bertahan membina taqwa dan Iman,
Tolong, dan tolonglah,
Aku memohon Wahai Tuhan Maha Pengasih,
Tolonglah aku hambaMu ini!
Wahai manusia mengaku saudara,
Tolonglah saudaramu yang berdosa ini!

Allah Ya Rabbi

Allah Ya Rabbi..
Aku ini hamba hina dengan sejuta palitan dosa
Wujud dari air hina atas ihsan Engkau
Aku cuba menghayati agamaMu
Dengan akal singkat kurniaanMu
Teraba aku dalam sinar
Yang kadang terang
Kadang kelam
Butir jernih air mata
Belum tentu berzikir dalam redha Engkau

Dan Rabbi..
Aku ingin kembali
Pada Quran dan sunnah
Semulus fahaman
Rasulullah dan sahabat...

Rabbi...
Andai Engkau menginginkan aku sesat
Tiada siapa yang mampu menolongku
Tiada siapa...
Kasihanilah aku ini
Aku ini hamba hina
Padamu aku mengadu
Padamu aku kembali..

DI SINI...


Di sini aku berdiri
Merenung ciptaanMu Ya Allah…
Menilai kebesaranMu
Memuji keagunganMu…
Terasa betapa kerdilnya diriku disisiMu..
Layakkah aku bergelar hambaMu
Layakkah aku mencium bau syurgaMu
Kerana…
Aku hanyalah insan hina
Yang penuh dengan kekotoran
Aku juga insan keji
Yang penuh dengan kejahilan
Diri ini penuh dipalit dosa
Dosa-dosa yang telah aku lakukan
Dosa-dosa yang tidak mengenal balasanMu
Dosa-dosa yang tidak mungkin Engkau maafkan…
Di sini aku berdiri..
Menginsafi keterlanjuranku
Aku pernah melupakanMu…
Aku pernah leka dengan keasyikan duniawi..
Dan kini aku berjanji
Akan aku sematkan namaMu di segenap sanubariku
Akan aku basahkan lidahku memuji keagunganMu Ya Allah…
Aku insaf…
Terimalah taubatku Ya Allah…