Wednesday, September 2, 2009

DI UFUK FAJAR SYAWAL

Sayup bening di kaki langit
Fajar Syawal muncul kembali
Tanda Ramadhan sudah pergi
Wahai Tuhan
Ini adalah hari kemenangan
Dalam sebuah perang nafsu
Yang tak pernah sirna
Ayuh aduhai taulan
Marilah kita raikan saat kejayaan
Dalam pintalan ukhuwah yang erat
Menghulur tangan maaf dipohon
Tanda kita saudara seagama
Tak pernah berbeza
Hanya amal dan taqwa
Menjadi pemisahnya!!
Pulanglah si perantau
Kerana ayah bonda
Sudah amat merindu

Lupakan sengketa lalu…
Kerana harga kerinduan sepasang mata tua
Nan tak pernah jemu menantimu di sana
Usah biarkan mereka melakar duka dalam rebas air mata!
Garaplah purnama Syawalmu kali ini dalam seribu erti
Kerana yang jauh sudah mula merapat kembali
Dan yang dekat sudah kian mesra menaut rasa
Sesungguhnya Syawal punya agenda istimewa
Untuk disemat dalam kenangan
Dalam larikan mimpi yang tak pernah pudar!
Dalam munajat yang kian panjang

Sering ditadah doa agar amal terus diterimaNya
Kerana belum pasti Syawal
Dapat menjengah diri
Pada musim datang kembali…
Wahai Tuhan Rabbul Izzati
Kau makbulkan munajat kami
Agar Syawal ini adalah detik mula
Bahawa esok adalah cahaya jaya
Buat menambah amalan bekalan
Untuk aku pulang ke negeri abadi
Kerana hidup itu
Sempadannya adalah mati!!

No comments:

Post a Comment