Sunday, August 23, 2009

ERATKAN KASIH SAYANG DENGAN MEMBERI SALAM...


Abu Hurairah melaporkan, katanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Saudara semua tidak akan masuk syurga sehinggalah saudara beriman, dan saudara tidak beriman melainkan saudara saling kasih mengasihani. Sukakah saudara jika saya beritahu perbuatan yang menimbulkan kasih sayang sesama saudara sekalian? Ucapkanlah salam sesama saudara semua.” (Hadith sahih direkodkan oleh Imam Muslim).


Nabi Muhammad memberikan panduan terbaik untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama kita. Baginda menjelaskan, perasaan kasih sayang antara sesama Muslim adalah tabda keimanan. Oleh itu, secara tidak langsung amalan memberi salam dapat meningkatkan tahap keimanan.


Amalan memberi salam amat digalakkan dalam Islam. Abu Umarah, atau nama sebenarnya Al-Barra’ bin Azib melaporkan katanya, “Nabi Muhammad mengarahkan kami supaya melakukan tujuh perkara, iaitu pergi melawat orang sakit, ikut menghantar jenazah ke kubur, mendoakan orang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang dianiaya, menyebarkan salam, dan melaksanakan sumpah.”


Nabi Muhammad menjelaskan, individu yang gemar memberi salam adalah individu yang paling dikasihi Allah s.w.t..


Di samping itu, amalan memberi salam menjadi penyebab Allah memasukkan hambaNya ke dalam syurga. Abu Yusuf atau nama sebenarnya Abdullah bin Salam, melaporkan katanya, “Saya pernah mendengar Nabi Muhammad berkata, “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, rapatkan tali kekeluargaan, dan didirikanlah sembahyang malam semasa orang lain sedang nyenyak tidur. Percayalah, saudara semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Hadith Riwayat Imam Tarmizi”).

Pahala memberi salam bergantung kepada lafaz yang digunakan dalam salam tersebut. Semakin panjang lafaz salam yang diucapkan, semakin banyak pahala diberikan oleh Allah. Imran bin Husain melaporkan katanya : “ Pada suatu masa ada seorang lelaki datang menemui Nabi Muhammad lalu dia mengucapkan, ‘Assalamualaikum’ Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki tersebut pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat sepuluh pahala.” Kemudian datang pula seorang lelaki lain lalu dia mengucapkan salam, “Assalamualaikum warahmatullah’. Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki itu pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat dua puluh pahala”. Kemudian datang pula seorang lelaki lain, lalu dia mengucapkan salam, ‘Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.’ Nabi Muhammad menjawab salam lelaki itu. Lalu lelaki itu pun duduk. Nabi Muhammad terus berkata : “Saudara mendapat tiga puluh pahala”. (Hadith hasan direkodkan oleh Imam Daud dan Tirmizi).


Di samping mengucapkan lafaz salam, digalakkan juga mengangkat tangan kanan semasa memberi salam. Antara adab memberi salam, sesuaikan nada suara dengan suasana. Janganlah sampai memberi salam itu mengganggu orang lain, contohnya mengganggu orang yang sedang tidur. Miqdad melaporkan katanya : “Kami biasa menyediakan susu buat Nabi Muhammad. Kemudian Baginda datang pada waktu malam dan Baginda memberi salam dengan perlahan, supaya orang yang tidur tidak terjaga, manakala yang jaga dapat mendengar. Kemudian beliau datang lagi pada hari berikutnya dengan memberi salam sebagaimana yang biasa dilakukannya.”

No comments:

Post a Comment