Sunday, April 5, 2009


HASIL KARYA DAN PENULISAN AL-FARABI


Al-Farabi sebenarnya tidak banyak menulis buku yang tebal-tebal seperti orang lain melainkan hanya beberapa buah buku dan catatan ringkas di atas lembaran kertas yang terpisah-pisah. Buku-buku karangan beliau mula ditulis sewaktu berada di Harran iaitu semasa pengembaraan kedua beliau dalam lingkungan empat puluhan. Kemudian beliau meneruskan penulisannya lagi ketika bermastautin di Baghdad dan Damsyik sehingga usia beliau menjangkau usia lapan puluh tahun.

Karya-karya beliau banyak digunakan sehingga sekarang dan menjadi rujukan bagi para ilmuan namun, sebahagiannya telah hilang. Antara yang dapat diselamatkan ialah tiga puluh dua risalah Bahasa Arab, enam risalah dalam bahasa Barat dan dua lagi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Ibnu Abi Ushaibiah dan al-Qafthi mengatakan bahawa karangan al-Farabi berjumlah 17 syarh (penjelasan), 90 buku dan 25 catatan kecil. Hanya 40 buah karangan yang masih tersimpan.

Beliau banyak menulis tentang buku mengenai pengantar falsafah iaitu pengenalan ilmu falsafah, logik, syarah atau komentar terhadap karya-karya ahli fikir terdahulu seperti Aristotle dan Plato. Menurut ‘Abbas Mahmud karya ilmiah al-Farabi boleh dipecahkan kepada enam kelompok, seperti:

1) Buku-buku dalam bidang mantiq
2) Buku-buku dalam bidang ilmu kepandaian (al-ta’lim)
3) Buku-buku dalam bidang ilmu alam, kimia dan perubatan
4) Buku-buku dalam bidang ketuhanan
5) Buku-buku dalam bidang ilmu madani (meliputi akhlak dah siasah)
6) Buku-buku dalam berbagai-bagai bidang (umum)

Teknik penulisan dan bahasa yang digunakan dalam karya-karya beliau adalah sangat halus, berseni serta tidak meleret-leret. Tidak terdapat pengulangan ayat dalam penulisannya. Ayatnya begitu ringkas dan padat namun, merangkumi makna yang menyeluruh. Malah beliau juga kaya dengan lafaz dan ibarat mungkin juga akibat terpengaruh dengan gurunya Abu Bishr Matta bin Yunus ketika berada di Iraq. Yang mana guru al-Farabi ini gemar menggunakan perkataan dan ibarat yang mudah.

Hasil karya beliau tersebar dengan meluasnya sehingga ke Timur, Morocco (Maghribi) dan Sepanyol (Andalus). Sebahagian karangan-karangan beliau yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Ibrani disimpan dan dijaga di perpustakaan negara-negara Eropah. Antara buku-buku penting karya al-Farabi yang berkaitan dengan jiwa ialah:

1) Buku Ara Ahl al-Fadhillah
2) Buku Tahsil as-Sa’adah
3) Risalah at-Tanbih ‘ala Sabil as-Sa’adah
4) Risalah fi al-‘Aql
5) ‘Uyun al-Masa’il
6) Buku as-Siyasat al-Madaniyah
7) Fushush al-Hikam
8) Ad-Da’awi al-Qalbiyah

No comments:

Post a Comment