Sunday, April 5, 2009

KEPERIBADIAN AL-FARABI

Al-Farabi disifatkan sebagai salah seorang tokoh falsafah Islam yang agung dan hebat yang tiada tandingannya. Akan tetapi, beliau lebih suka hidup bersendirian, uzlah (pengasingan diri) serta terlalu zuhud. Beliau tidak berkehendakkan kemewahan duniawi apatah lagi untuk tinggal di rumah-rumah besar seperti golongan atasan yang lain kerana baginya ilmu adalah lebih berharga daripada darjat dan harta-benda.

Beliau merupakan anak murid kepada Abu Bakar al-Shibli dan Abu Mansur al-Hajaj yang terkenal sebagai tokoh sufi Islam. Ketekunan beliau dalam menuntut ilmu telah dapat melahirkan kesepaduan fikiran yang membantunya mencapai puncak kebenaran. Rutin harian beliau pada waktu siang dan malam adalah membaca dan menulis, selain membuat komentar terhadap tulisan falsafah dan mantiq Yunani.

Di samping itu, beliau berupaya menguasai pelbagai bahasa, dialek dan loghat sehinggakan Ibn Khallikan mengatakan bahawa al-Farabi mampu menggunakan tujuh puluh dialek. Kebolehannya mengetahui berbagai-bagai bahasa asing, adalah langkah yang bijak untuk menguasai pelbagai jenis ilmu-ilmu. Seperti kata pepatah penjajah belanda: “sebelum menguasai sesebuah bangsa, kuasailah bahasa dan ilmunya.” Antara bahasa yang dapat dikuasainya adalah seperti bahasa Turki, Parsi, Kurdi dan Arab.

Al-farabi juga berbakat dalam bidang muzik, terdapat beberapa buku muzik hasil tulisan beliau dan beliau juga pandai bermain alat muzik. Rebab dan qanun merupakan antara alat muzik yang telah dicipta oleh beliau sendiri. Kemahiran beliau dalam bidang syair dan sastera tidak dapat dinafikan lagi, penggunaan bahasa yang indah dan menarik telah beliau hasilkan dengan meliputi pelbagai jenis tajuk dan tema.



No comments:

Post a Comment