Sunday, April 5, 2009

HATI ( AL-QALB ) DAN OTAK ( AL- DIMAGH )

Manusia seperti yang diterangkan di atas adalah hasil gabungan jiwa (al-nafs) dan fizikal (al-badan). Dari segi fizikal manusia terdiri daripada berbagai-bagai jenis anggota yang mempunyai fungsi dan tugas yang berlainan. Sewaktu memberikan pandangannya terhadap persoalan fizikal ini, al-Farabi menekankan masalah hati dan juga otak, yang merupakan dua anggota terpenting kepada manusia.
Jantung (atau hati) adalah anggota teragung, yang mana tidak ada lagi anggota badan lain-lain yang dapat mengatasinya. Ini kemudiannya dituruti oleh otak, sebagai anggota kedua yang terpenting. Otak bertugas untuk jantung dan seluruh anggota badan. Jantung, dari aspek kedudukan dan tarafnya, disifatkan oleh al-Farabi sebagai ‘tuan’ (sahib) kepada diri manusia :
“Hati adalah anggota (yang menjadi) ketua yang tidak diketuai oleh anggota lain. Berikutnya adalah otak, ia juga adalah satu anggota yang boleh dikira ketua, dan keketuaannya itu bukanlah keketuaan yang utama, tetapi dia adalah yang kedua sahaja. Ini adalah kerana ia berketua dengan hati dan ia juga menjadi ketua kepada lai-lain anggota. Sesungguhnya ia berkhidmat untuk hati dan semua anggota lain berkhidmat untuknya dengan cara mengikut apa yang dikehendaki oleh hati dengan cara tabi’i. Hal itu sebenarnya adalah sama seperti rumah manusia, sesungguhnya ia memberi khidmat pada manusia dan rumah itu pula diberi khidmat oleh manusia dengan mengikut apa yang dimaksudkan oleh manusia terhadap dua perkara itu, seolah-olahnya ia (otak) mengganti hati dan mengambil tempat dan menjadi naib kepada hati serta bertukar ganti pada apa yang tidak mungkin digantikan oleh ketua, dan ia yakni otak dilantik (berkuasa) untuk berkhidmat kepada hati pada perbuatan-perbuatan yang mulia.”
Petikan di atas menerangkan tentang hakikat, kedudukan dan fungsi jantung yang berbeza dengan anggota badan yang lain-lain. Kemudian al-Farabi menjelaskan pula fungsi otak terhadap jantung dan seluruh anggota badan. Menurut beliau jantung memancar keluar kepanasan semulajadi dan daripada jantung wujud kepanasan yang diperlukan oleh seluruh anggota badan. Otak manusia pada dasarnya mempunyai dua tugas penting iaitu :
1) Hati melahirkan kepanasan semulajadi dan kepanasan tersebut akan menjadi bertambah kuat. Dengan itu, otak memainkan peranan untuk mengimbangi kepanasan tersebut, yang mana dengan imbangan itu akan membahagikan kepanasan jantung tadi dan kepanasan itu keluar ke seluruh anggota badan yang memerlukannya, sehingga dapat memenuhi kadar kehendak mereka. Otak mempunyai kekuatannya sendiri, iaitu ia dapat mengimbangi sendiri kepanasan jantung hingga ia dapat memperbaiki daya pemikirannya, ingatannya, pengamatannya dan sebagainya.
2) Dalam otak terdapat satu tempat yang bertugas mengawasi sebahagian besar urat saraf manusia. Di samping itu tempat pengawasan bagi seluruh urat saraf itu terletak dalam urat putih (al-nakha). Urat putih dari segi kedudukannya, bersambung di sebelah atas dengan otak. Selain daripada itu satu lagi tugas otak ialah membantu saraf pergerakan kehendak dan kemahuan manusia, sehingga saraf itu dapat memenuhi apa yang dikehendaki oleh jantung seperti menggerakkan anggota secara automatis.
Selain daripada itu, al-Farabi juga memberikan pandangannya mengenai akal dan tingkatannya serta fungsi akal itu sendiri. Umumnya, menurut pengelasan yang dibuat oleh al-Farabi, akal dapat dibahagikan kepada tiga jenis yang secara ringkasnya adalah seperti di bawah :
1) Al-‘aql al-hayulani (akal materi / kebendaan )
Akal ini juga dipanggil ‘aqal bi al-quwwah iaitu akal manusia. Al-Farabi mendefinisikan akal potensial sebagai jiwa tertentu, atau bahagian dari jiwa, atau salah satu potensi jiwa, atau sesuatu yang materinya siap atau disiapkan untuk melepaskan semua wujud dan gambarnya tanpa disertai materinya, sehingga membuatnya menjadi gambaran atau beberapa gambaran bagi jiwa tersebut. Gambar-gambar yang terlepas dari materinya yang menjadi gambaran di dalam zat tersebut adalah ma’qulat iaitu objek rasional.
2) Al-‘aql bi al-fi’li ( Akal Aktual / Bakat )
Ia lebih tinggi daripada akal manusia di atas. Ini kerana ia dapat melepaskan dirinya daripada unsur-unsur benda (maddah), dan dengan itu pengetahuan yang diperolehinya adalah dalam bentuk sebenar.
Al-Farabi mengistilahkan objek rasional yang berasal dari objek inderawi yang tersimpan di dalam daya fantasi dengan sebutan ma’qulat pertama, iaitu ma’qulat yang sama di antara semua orang. Jika ma’qulat yang terlepas dari materi dalam akal hayulani terbentuk, maka ia menjadi akal aktual atau akal habitual, dan ma’qulat tersebut berubah menjadi ma’qulat aktif. Ketika ma’qulat di dalam akal terbentuk, maka ia menjadi sebahagian dari akal dan menjadi bakatnya. Oleh kerana itu, akal aktual disebut bakat dan ia juga disebut aktif apabila dinisbatkan pada objek rasional yang belum difikirkan disebut potensi.
3) Al-‘aql al-mustafad (akal perolehan)
Merupakan daya berfikir yang ketiga. Ia boleh menangkap bentuk-bentuk yang lebih sempurna daripada pencapaian akal di atas. Tingkatan akal mustafad ini lebih tinggi dari akal aktual dan lebih terpisah dari material, serta lebih dekat dengan Akal Aktif. Tidak ada sesuatu yang lain di antara akal mustafad dan Akal Aktif, dan itulah tingkatan akal tertinggi yang dapat dicapai manusia. Jiwa mustafad adalah manusia sejati, dan dialah yang abadi setelah badan mengalami kehancuran.

No comments:

Post a Comment