JIWA ( AL-NAFS ) DAN AKAL
Sarjana Sa’id Zaid ketika menghuraikan persoalan jiwa (al-Nafs) manusia menurut pandangan al-Farabi, memaklumkan bahawa pada asasnya kewujudan jiwa tidak terhad kepada manusia sahaja, malah berada juga pada binatang (al-hayawan), tumbuh-tumbuhan (al-nabat) dan planet (seperti bintang, bulan, matahari, langit dan alam sejagat). Jiwa wujud hasil limpahan (al-Faid) daripada akal-kesepuluh (al-‘Aql al-‘Ashir). Manusia pada hakikatnya adalah hasil gabungan dua unsur iaitu fizikal (yakni tubuh badan yang berunsurkan kebendaan) dan jiwa (unsur rohani). Inilah pendirian al-Farabi dalam membezakan antara dua unsur berkenaan. Walaupun berlainan, dalam konteks kehidupan manusia, ia adalah penting sebagai dasar hidup yang mana daripadanya manusia memperolehi beberapa faedah seperti kebolehan berfikir, berperasaan, berkemahuan dan sebagainya.
Merujuk secara khusus kepada jiwa manusia (al-Nafs al-Insaniyah) al-Farabi berpendapat, apabila terjadinya manusia maka lahirlah bersama-samanya beberapa kekuatan jiwa atau tenaga (al-Quwwah), yang mana tenaga itu menolong manusia dalam usaha meningkatkan lagi mutu kecerdasan akal fikirannya. Tenaga tersebut adalah seperti berikut :
1) Tenaga makan (al-quwwah al-ghaziyah)
2) Tenaga perasaan (al-quwwah al-hassah)
3) Tenaga ingatan (al-quwwah al-mutakhayilah)
4) Tenaga berfikir (al-quwwah al-natiqah)
5) Tenaga kemahuan (al-quwwah al-nuzuiyah)
Berikut merupakan penerangan mengenai tenaga-tenaga berkenaan :
1) Tenaga makan
Merupakan tenaga ulung yang wujud pada diri manusia. Ia bertugas untuk keperluan fizikal manusia, yakni berusaha memenuhi keperluan makanan dan keperluan asas lain yang penting untuk memelihara dan mengekalkan kehidupannya. Jelas Al-Farabi :
“ Tenaga kekuatan) makan yang ada pada manusia, ia sesungguhnya dijadikan untuk memberi khidmat kepada badan.”
2) Tenaga perasaan.
Tenaga ini disebut juga “tenaga kepancaindera” memberikan faedah yang besar kepada manusia. Ia tumbuh daripada pancaindera yang masyhur iaitu lidah, telinga, mata, hidung dan rasa anggota. Tenaga ini banyak membantu akal dan memberi pengalaman kepada manusia. Melalui tenaga itu manusia dapat merasa udara panas dan sejuk dan makanan, mengetahui warna dan tahu memilih antara yang disukai atau tidak.
3) Tenaga ingatan atau imaginasi.
Tempatnya terletak di hati manusia. Tenaga ini juga besar fungsinya kepada manusia. Ia boleh menyimpan ingatan tentang sesuatu dan juga pengalaman daripada pancaindera di atas. Ia boleh berkhayal mengenai hal-hal yang boleh berlaku dan sesuatu yang mungkin terjadi. Mengenai hal ini Al-Farabi menulis :
“ataupun ia bercita-cita pada satu benda yang boleh disusun oleh kekuatan imaginasi (khayalan). Dan yang kedua apa yang terlintas pada kekuatan imaginasi, daripada apa sahaja perasaan, maka terbayanglah padanya (daripada pemikiran itu) apa-apa sahaja sama ada benda itu menakutkan atau dicita-citakan, ataupun apa yang datang kepadanya daripada perbuatan kekuatan berfikir.”
4) Tenaga berfikir.
Tenaga ini paling istimewa dan untuk manusia sahaja. Kedudukannya dan kepentingannya adalah lebih besar daripada tenaga-tenaga di atas. Ia dapat membezakan sesuatu, sama ada sesuatu itu baik atau buruk serta boleh menggerakkan manusia untuk bekerja dan menuntut ilmu. Tenaga ini merupakan faktor terbesar yang membezakan manusia daripada binatang. Menurut al-Farabi tenaga ini mempunyai dua kategori iaitu amaliyah dan nazariyah.
5 ) Tenaga kemahuan
Ia adalah kemahuan yang menjadi faktor pendorong bagi manusia untuk berbuat sesuatu ataupun mengingkarinya. Manusia memperolehi sesuatu hasil daripada pertimbangan tenaga ini kerana daripadanyalah berpuncanya iradah. Ia juga merupakan tenaga yang akan menghukumkan atau melakukan sesuatu (mengambil) atau sebaliknya (menggagalkannya).
Jenis tenaga yang lain adalah berlainan daripada tenaga kemahuan. Al-nuzuiyah berkhidmat untuk semua tenaga yang lain termasuklah al-natiqah. Semua hasrat tercapai dengan bantuan tenaga ini. Selain daripada itu segala jenis pekerjaan terjadi kerana tenaga kemahuan itu. Sementara itu manusia mengetahui sesuatu adalah kerana tenaga berfikir, atau mungkin juga kerana tenaga imaginasi, dan kadangkala kerana tenaga kepancainderaan (al-ihsas).
No comments:
Post a Comment